Oct 02, 2025 - FASSelangor FC tidak berjaya membawa pulang tiga mata dari Stadium Bishan, Singapura selepas tewas menentang Lion City Sailors dengan keputusan 2-4.
Perlawanan bermula dengan pihak lawan, Anderson Lopes, menjaringkan gol pada minit ke-7, 13, 45+5 dan 54. Selangor FC membalas menerusi gol Chrigor pada minit ke-37 (penalti) dan Faisal Halim pada minit ke-73. Pasukan berjaya menguasai 68% penguasaan bola, 89% ketepatan hantaran, membuat sebanyak 604 hantaran dengan 24 percubaan, namun, dihukum dengan kesilapan sendiri.
Menurut ketua jurulatih interim Selangor FC, Chirstophe Gamel, akur dengan kekalahan ini namun puji sikap positif pemain dalam berusaha memahami cara beliau.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh atas keputusan perlawanan semalam. Terdapat beberapa situasi yang sukar untuk kami hadapi dan menyudahkan jaringan gol menjadi satu cabaran. Dari segi pertahanan pula, pasukan kurang konsisten. Namun begitu, saya ingin memuji semangat para pemain kerana mereka telah memberikan yang terbaik dan berjuang hingga ke wisel penamat. Secara jujurnya, untuk membuat perubahan dalam masa dua hari bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi mereka menunjukkan tanda-tanda dan sikap yang positif, ini yang saya mahu tekankan.”
Seterusnya, Selangor FC akan berdepan Imigresen FC di Stadium Negeri, Pulau Pinang pada 5 Oktober ini jam 5 petang.
Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong yang telah memenuhi bahagian tempat duduk Gergasi Merah di Stadium Bishan, Singapura semalam.
Demi Kebanggaan!